Saturday, January 17, 2009

BN kalah di Kuala Terengganu tetapi Abdullah berjaya dalam politiknya....

Kekalahan Barisan Nasional dalam PRK Kuala Terengganu dilihat sebagai satu petanda buruk buat UMNO. Kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen bagi BN dalam PRU 12, ramai berpendapat kerana berlakunya krisis dalaman dalam UMNO.

Pemilihan calon yang dikatakan banyak dicampuri oleh menantu PM, Khairy Jamaluddin, tidak disenangi oleh kebanyakan ahli. Sebagai bantahan, dikatakan ramai ahli UMNO telah memberikan undi kepada pembangkang.

Sebagai reaksi awal kepada kemerosotan pencapaian BN dalam PRU 12, ahli-ahli UMNO bangun bersuara meminta Datuk Seri Abdullah Badawi yang merupakan peneraju UMNO meninggalkan jawatannya. Walau agak berat Abdullah berbuat demikian, tetapi memandangkan desakan ahli terlalu kuat, Abdullah akhirnya memberi persetujuan untuk undur pada bulan Mac tahun ini.

Belum pun pulih sakit yang ditanggung oleh BN dalam PRU 12, Datuk Wan Azizah yang telah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh dalam PRU 12, telah mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

UMNO sekali lagi telah dikalahkan dengan teruk oleh PKR dalam PRK Permatang Pauh. Pemimpin UMNO memberi alasan kekalahan itu kerana kehebatan Datuk Sri Anwar Ibrahim itu sendiri. UMNO menganggap Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR.

Tetapi dengan kekalahan UMNO untuk kali ketiga dalam masa tidak sampai satu tahun, dalam PRK Kuala Terengganu, apakah mahu dicari satu alasan lain bagi menutupi kelemahan yang ada?

Kalau sebelum ini kekalahan itu dikaitkan dengan Abdullah yang menerajui UMNO, tetapi Abdullah telah pun menyatakan kesediaannya untuk berundur pada bulan Mac ini. Setelah Abdullah berbuat demikian, sepatutnya ahli-ahli UMNO memberikan sokongan padu kepada Datuk Najib yang akan menggantikannya.

Walaupun Datuk Najib berkampung siang dan malam di Kuala Terengganu, tetapi parlimen Kuala Terengganu tetap jatuh ke tangan PAS, malahan kekalahan itu telah pun diramal oleh banyak pihak sejak dari awal lagi.

Jadi kemerosotan pencapaian UMNO sejak dari PRU 12 hinggalah kepada PRK Kuala Terengganu, apakah disebabkan kelemahan kepimpinan Abdullah atau UMNO itu sendiri semakin ditolak oleh orang-orang Melayu?

Sekiranya kekalahan itu disebabkan UMNO semakin ditolak oleh orang-orang Melayu, Datuk Najib pun tidak akan mampu untuk mempertahankan UMNO dari runtuh.

Mungkin selepas ini ahli-ahli UMNO akan berfikir semula, memaksa Abdullah Badawi meninggalkan jawatannya bukanlah jalan kepada menyelesaikan permasalahan UMNO.
Datuk Najib telah dilihat tidak mampu untuk memimpin dan membangunkan semula UMNO.

Sekiranya keadaan seperti ini berlaku, Abdullah telah berjaya menjalankan strategi politiknya dengan meletakkan Wan Ahmad Farid sebagai calon BN di Kuala Terengganu.

1 comment: