Thursday, February 5, 2009

Dr. Zambry penerus perjuangan Pakatan Rakyat


Kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak bukanlah bererti padamnya perjuangan untuk membela keadilan rakyat di negeri Perak. Walaupun UMNO dilihat telah bertindak secara tidak baik menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat secara rakus, tetapi Allah telah melembutkan hati pemimpin UMNO untuk memilih Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru.

Walaupun Dr. Zambry berada di dalam wadah yang lain tetapi arah dan prinsip perjuangan beliau tidak jauh berbeza dengan apa yang di bawa oleh Ketua Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dr. Zambry memang diketahui umum sebagai pengikut setia Datuk Seri Anwar ketika beliau di dalam UMNO dahulu.

Pengikut yang saya maksudkan di sini bukanlah "pengikut buta" seperti ahli-ahli UMNO yang lain tetapi Dr. Zambry adalah pengikut dari segi memahami dan menghayati dasar perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dari segi latarbelakang pendidikan yang diterima oleh Dr. Zambry, kita mengetahui beliau bukanlah pengikut buta tetapi adalah pengikut yang memahami dasar dan perjuangan Anwar. Beliau mendapat ijazah pertama dari Universiti Islam Antarabangsa dan ijazah lanjutan dan Phd dari Universiti Temple, Amerika Syarikat dengan biasiswa WAMY. Dua Universiti ini merupakan kilang yang banyak melahirkan pendukung-pendukung gagasan Anwar.

Walaupun Dr. Zambri berada di dalam UMNO dan Anwar berada di dalam PKR, tidak bermakna mereka bertentangan dari segi idea perjuangan. Keluarnya Anwar dari UMNO bukanlah atas kehendaknya sendiri tetapi kerana disingkirkan oleh Dr. Mahathir atas hasutan pemimpin UMNO yang cemburu dengan kejayaannya.

Bukan Dr. Zambry sahaja yang masih berada di dalam UMNO tetapi terdapat ramai lagi pengikut-pengikut Anwar yang sedang cuba meneruskan perjuangan Anwar menerusi wadah UMNO dan juga parti-parti yang lain.

Bagi penyokong-penyokong Pakatan Rakyat, janganlah terlalu bersedih dengan apa yang berlaku di Perak. Walaupun BN mengambil alih tetapi yang memegang tampuk pemerintahan ialah Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir. Beliau mempunyai keperibadian yang baik dan fikrah yang jelas dan tidak jauh berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

Siapa yang berjuang kerana Pakatan Rakyat, Pakatan Rakyat mungkin akan hilang, tetapi siapa yang berjuang kerana kebenaran, kebenaran tetap kekal selama-lamanya.

Monday, February 2, 2009

Anwar jangan jadikan ahli PKR macam ahli UMNO

Dalam kes kehilangan dua orang exco kerajaan PR di Perak, saya suka melihat telatah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dia seolah-olah mahu bersembunyi dari isu itu. Sebagai Ketua Pakatan Rakyat dan sebagai Ketua Umum PKR, beliaulah sepatutnya terkehadapan memberikan kenyataan-kenyataan berhubung perkara tersebut.

Hal ini adalah melibatkan exco dari PKR. Maruah dan masa depan PKR harus dijaga. Jangan cuba menyalahkan orang lain seperti UMNO dan sebagainya. Bukan sahaja UMNO, sesiapa pun dalam keadaan UMNO di Perak sekarang ini, akan berusaha untuk menumbangkan lawannya. Ini kerana perbezaan kerusinya sangat sedikit.

Malahan PR sendiri sentiasa berusaha untuk menarik sebanyak mungkin MP Barisan Nasional melompat ke PR, sedangkan jumlah perbezaan kerusi di parlimen masih besar.

Ini berbeza sekali dengan di Perak. Di Perak, BN hanya perlu mencari 3 kerusi sahaja lagi bagi membolehkan mereka membentuk sebuah kerajaan. Jangankan 50 juta, sekiranya 100 juta sekalipun diperlukan untuk membolehkan adun PR melompat ke BN, mereka pasti akan usahakan.

Dalam suasana sebegini dan keanggotaan PKR yang lemah dalam ketahanan diri untuk berhadapan dengan UMNO dan BN yang telah dijangka akan menggunakan wang sebagai daya penarik, Datuk Seri Anwar sepatutnya berusaha kearah memantapkan ketahanan diri ahli-ahli dahulu.

Datuk Seri Anwar kena akui bahawa ahli-ahli partinya sekarang ini, kebanyakannya adalah bekas-bekas ahli UMNO yang mana perangai dan mentalitinya terhadap wang dan meterial tidak jauh berbeza dengan ahli UMNO.

Kehancuran UMNO sekarang ini adalah disebabkan perkara-perkara tersebut yang mana sudah tidak boleh dibendung lagi. Datuk Seri Anwar sekarang ini sepatutnya menumpukan usaha dalam pembentukan sahsiah ahli-ahli bagi menghadapi PRU ke 13 dan bukanya bermain silap mata mengharapkan kerusi-kerusi yang telah dimiliki oleh BN.