Thursday, January 22, 2009

Rasuah akan memusnahkan negara dan orang Melayu


Dalam PRU 12 orang bercakap pasal rasuah, PRK Permatang Pauh orang bercakap pasal rasuah, PRK Kuala Terengganu orang bercakap pasal rasuah dan pemilihan UMNO yang akan diadakan pada bulan Mac ini pun orang bercakap pasal rasuah, malah lebih teruk lagi kerana telah pun melibatkan tangkapan-tangkapan dan pendakwaan bagi mereka yang terlibat.

Dalam Malaysia ini ada banyak parti-parti politik tetapi kenapakah UMNO sahaja yang dituduh, ditohmah dan didakwa terlibat dalam kes rasuah? Apakah parti-parti lain tidak mengamalkan rasuah?

Sekira jawapannya tidak, Ini bererti parti UMNO yang merupakan parti orang-orang Melayu terulung di negara ini, benar-benar telah rosak dan memalukan bangsa Melayu sendiri.

Pada pandangan saya orang-orang lain pun mengamalkan rasuah juga tetapi mereka masih merasakan rasuah ini sebagai satu kesalahan dan mereka yang melakukannya secara sembunyi-sembunyi.

Tetapi di dalam UMNO kita lihat mereka melakukannya secara terang-terang tanpa segan silu. Malah mereka merasakan rasuah ini merupakan jalan terbaik bagi mendapatkan harta kekayaan.

Mana tidaknya, baru setahun dua jadi wakli rakyat kehidupan telah jauh berubah. Rakyat pun tahu berapa gaji seorang wakli rakyat. Kalau tidak ada unsur-unsur tidak betul, masakah boleh mereka membuat kekayaan begitu cepat.

Lebih buruk lagi kekayaan yang mereka perolehi itu dipamirkan secara terang-terangan kepada rakyat. Rumah besar, berkereta mewah dan sebagainya. Rakyat bukannya tidak ada hati dan biji mata. Bagi ahli-ahli bawahan pula, mereka juga berazam untuk menjadi seperti pemimpin-pemimpin mereka, untuk mendapat kekayaan.

Kalau mereka melihat pemimpin mereka kaya dan bermewah-mewah, sudah barang tentu mereka juga mahukan sedikit dari apa yang diperolehi oleh pemimpin mereka. Sekiranya pemimpin mahukan ahli bawahan menyokong mereka, ahli bawahan akan meminta habuan sebagai ganjaran kepada sokongan yang diberikan.

Biasanya pemimpin-pemimpin tidak keberatan untuk memenuhi kehendak ahli bawahan asalkan apa yang mereka hajati tercapai. Soal wang ringgit biasanya bukan masalah besar kerana ada "taukeh" yang telah siap menjaga keperluan pemimpin tadi.

Taukeh-taukeh ini biasanya bukan dari kalangan orang-orang Melayu. Mereka ini mempunyai kepentingan yang besar dalam pelaburan (rasuah) yang diberikan.

Amalan ini sudah menjadi lumrah dalam kepimpinan UMNO. Malahan orang ramai pun tahu sipolan itu taukehnya sipolan.

Amalan seperti ini telah berjalan berpuluh tahun dan sekarang ini telah menjadi budaya dalam UMNO. Sekiranya budaya ini masih diizinkan berterusan, negara akan tergadai kepada sekelompok manusia yang berkepentingan.

Jadi negara sangat mengharapkan generasi baru yang telahpun mendaftar sebagai pemilih, mengubah keadaan ini dengan segera. Sekiranya UMNO masih lagi dibenarkan menerajui tampuk pemerintahan negara, maruah dan nasib orang-orang Melayu akan terus tergadai.

Saturday, January 17, 2009

Orang Melayu "jauh hati" dengan UMNO


Walaupun kerajaan BN berjanji untuk memulangkan semula royalti minyak Terengganu yang dirampas semasa pemerintahan PAS dulu, tetapi orang Melayu Terengganu tetap menolak UMNO. Hati mereka telah luka atas perbuatan kejam UMNO kepada orang-orang Melayu.

Orang Melayu telah "jauh hati" dengan UMNO. Walaupun BN mendapat undi bukan Melayu melebihi dari yang diperolehinya pada PRU 12, tetapi undi Melayu kepada UMNO semakin berkurang. Orang Melayu lebih mempercayai PAS dari UMNO sekarang ini. Sekiranya keyakinan orang-orang Melayu semakin tinggi kepada PAS, tidak mustahil dalam PRU 13 nanti, PAS akan memerintah semula di Terengganu.

Penerangan yang baik yang telah diberikan oleh penceramah-penceramah Pakatan Rakyat dalam kempen PRK Kuala Terengganu, telah membuka mata orang-orang Melayu bahawa bangsa Melayu memang benar-benar miskin di negeri yang kaya seperti Terengganu.

Kekayaan yang diperolehi hasil royalti minyak telah dirampas oleh kerajaan pusat dan kemudian dibelanjakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO mengikut kepentingan mereka bagi mengaut keuntungan peribadi.

Bagi rakyat Sabah dan Sarawak juga telah memahami benar akan permainan kotor pimpinan kerajaan BN. Telah berkali-kali pemimpin mereka membangkitkan di parlimen bahawa rakyat Sabah dan Sarawak jauh ketinggalan dari rakyat di semenanjung sedangkan penghasilan negeri mereka cukup kaya.

Sekiranya dalam masa yang terdekat ini pilihanraya diadakan di Sabah dan Sarawak, adalah tidak mustahil Barisan Nasional akan kehilangan kerusi sepertimana yang dialaminya di Kuala Terengganu.

Rakyat Sabah dan Sarawak dikatakan telah "gatal tangan" untuk memangkah kertas undi yang bukan lambang dacing. Bagi mereka dacing yang disogokkan kepada mereka tidak dapat memberi timbangan yang adil kepada mereka.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghafur Saleh pernah menyatakan di parlimen bahawa masih terdapat kalangan pelajar-pelajar sekolah di Sabah yang belajar dengan meniarap kerana di sekolah tidak ada meja dan kerusi.

Bolehkah kita bayangkan kerajaan boleh membelanjakan berpuluh juta ringgit bagi menghantar seorang rakyatnya ke angkasa lepas tetapi di Sabah, untuk membekalkan meja dan kerusi ke sekolah pun mereka tidak mampu.

Bayangkanlah betapa tidak bertanggung jawabnya kerajaan BN terhadap rakyatnya. Hasil kekayaan negeri dikaut untuk pembangunan lain kononnya, tetapi anak negeri menderita kesempitan hidup.

Samalah seperti yang berlaku di Terengganu, negeri begitu kaya dengan hasil minyak tetapi rakyat hidup dalam kemiskinan. Lebih malang lagi yang hidup miskin itu adalah orang-orang Melayu.

Kekalahan di Kuala Terengganu ini adalah pengajaran kepada BN terutama pemimpin UMNO yang selama ini mendabik dada bahawa orang Melayu akan setia kepada mereka. Pilihanraya di Sabah dan Sarawak akan menentukan samada BN masih layak memerintah atau menjadi pembangkang.

BN kalah di Kuala Terengganu tetapi Abdullah berjaya dalam politiknya....

Kekalahan Barisan Nasional dalam PRK Kuala Terengganu dilihat sebagai satu petanda buruk buat UMNO. Kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen bagi BN dalam PRU 12, ramai berpendapat kerana berlakunya krisis dalaman dalam UMNO.

Pemilihan calon yang dikatakan banyak dicampuri oleh menantu PM, Khairy Jamaluddin, tidak disenangi oleh kebanyakan ahli. Sebagai bantahan, dikatakan ramai ahli UMNO telah memberikan undi kepada pembangkang.

Sebagai reaksi awal kepada kemerosotan pencapaian BN dalam PRU 12, ahli-ahli UMNO bangun bersuara meminta Datuk Seri Abdullah Badawi yang merupakan peneraju UMNO meninggalkan jawatannya. Walau agak berat Abdullah berbuat demikian, tetapi memandangkan desakan ahli terlalu kuat, Abdullah akhirnya memberi persetujuan untuk undur pada bulan Mac tahun ini.

Belum pun pulih sakit yang ditanggung oleh BN dalam PRU 12, Datuk Wan Azizah yang telah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh dalam PRU 12, telah mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

UMNO sekali lagi telah dikalahkan dengan teruk oleh PKR dalam PRK Permatang Pauh. Pemimpin UMNO memberi alasan kekalahan itu kerana kehebatan Datuk Sri Anwar Ibrahim itu sendiri. UMNO menganggap Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR.

Tetapi dengan kekalahan UMNO untuk kali ketiga dalam masa tidak sampai satu tahun, dalam PRK Kuala Terengganu, apakah mahu dicari satu alasan lain bagi menutupi kelemahan yang ada?

Kalau sebelum ini kekalahan itu dikaitkan dengan Abdullah yang menerajui UMNO, tetapi Abdullah telah pun menyatakan kesediaannya untuk berundur pada bulan Mac ini. Setelah Abdullah berbuat demikian, sepatutnya ahli-ahli UMNO memberikan sokongan padu kepada Datuk Najib yang akan menggantikannya.

Walaupun Datuk Najib berkampung siang dan malam di Kuala Terengganu, tetapi parlimen Kuala Terengganu tetap jatuh ke tangan PAS, malahan kekalahan itu telah pun diramal oleh banyak pihak sejak dari awal lagi.

Jadi kemerosotan pencapaian UMNO sejak dari PRU 12 hinggalah kepada PRK Kuala Terengganu, apakah disebabkan kelemahan kepimpinan Abdullah atau UMNO itu sendiri semakin ditolak oleh orang-orang Melayu?

Sekiranya kekalahan itu disebabkan UMNO semakin ditolak oleh orang-orang Melayu, Datuk Najib pun tidak akan mampu untuk mempertahankan UMNO dari runtuh.

Mungkin selepas ini ahli-ahli UMNO akan berfikir semula, memaksa Abdullah Badawi meninggalkan jawatannya bukanlah jalan kepada menyelesaikan permasalahan UMNO.
Datuk Najib telah dilihat tidak mampu untuk memimpin dan membangunkan semula UMNO.

Sekiranya keadaan seperti ini berlaku, Abdullah telah berjaya menjalankan strategi politiknya dengan meletakkan Wan Ahmad Farid sebagai calon BN di Kuala Terengganu.

Thursday, January 15, 2009

Bersabarlah anak-anak Gaza......



Lihatlah betapa kejamnya bangsa Yahudi, membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa



Tidak ada berita yang lebih hebat dari berita pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza sekarang ini.


Pembunuhan kejam ini direstui oleh Amerika dan sekutu-sekutunya.

Pemimpin negara-negara Islam khususnya negara-negara Arab berdiam diri melihat saudara-saudara mereka diperlaku seperti binatang buruan oleh tentera-tentera Yahudi.

Lihatlah betapa baculnya tentera Yahudi laknat itu mengacukan senjata kepada kanak-kanak Palestin


Mungkin Allah telah mencabut rasa kasih sayang dari jiwa-jiwa mereka atau mungkin hati mereka telah gelap ditutupi oleh kemewahan hidup yang mereka dinikmati.

Wahai anak-anak Gaza, bersabarlah........


Akan ada satu kaum yang akan membebaskan kamu dari penderitaan ini.......

Thursday, January 1, 2009

Warta Selatan

Blog ini akan menerbitkan berita-berita dan peristiwa yang berlaku di wilayah selatan tanah air khususnya di sekitar Johor Bahru. Bagaimanapun blog ini tidak terikat untuk memuatkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di tempat-tempat lain.

Sesiapa yang ingin memasukkan sebarang berita ke dalam blog ini bolehlah menghantarnya melalui e-mail:
alwishawal@gmail.com. Bagaimanapun tuan punya blog ini berhak mengedit atau tidak memasukkan berita-berita yang dihantar.

Sebarang berita yang dihantar hendaklah benar dan tidak mengandungi unsur-unsur hasutan. Pengirim berita hendaklah memberikan nama penuh, alamat dan nombor talipon yang boleh dihubungi.


Sekian, terima kasih.