Wednesday, March 18, 2009

Bolehkah Najib terima Datuk Saifuddin?

Dalam keadaan masyarakat sedang memperkatakan UMNO menghadapi zaman kehancuran kerana dipimpin oleh pemimpin yang rasuah, dan tidak ada pemimpin perlapis yang berbakat, maka lahirlah seorang anak muda dari Temerloh, Pahang menawarkan diri untuk turut menerajui kepimpinan UMNO. Beliau ialah Datuk Saifuddin Abdullah.

Datuk Seri Abdullah Badawi, sebagai pemimpin yang berpengalaman dan mempunyai misi yang jauh, telah meletakkan Datuk Saifuddin Abdullah sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan. Kepercayaan yang diletakkan oleh Abdullah ke bahu anak muda dari Temerloh ini, diharapkan dapat mengimbangi kecelaruan UMNO sekarang ini.

Datuk Saifuddin adalah anak didik Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dari bangku sekolah lagi. Semasa beliau masih menuntut di MCKK, beliau sering di bawa oleh bapa saudaranya Cikgu Tajuddin Abdul Hamid ke pejabat ABIM. Dari sinilah beliau mula membentuk keperibadiannya sebagai pemimpin.

Hubungan beliau dengan ABIM dan Datuk Seri Anwar terus kekal malah bertambah erat apabila beliau menuntut di Universiti Malaya. Kebetulan pejabat ABIM dengan Universiti Malaya terletak di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.

Semasa Anwar berada didalam UMNO, beliau telah menerajui kepimpinan Majlis Belia Malaysia yang memberi sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar di dalam kerajaan. Beliau juga menganggotai kumpulan "tink-tank" Anwar pada masa itu.
Keakrabannya dengan Datuk Seri Anwar menyebabkan orang ramai membuat spekulasi bahawa beliau adalah antara menteri yang akan melompat menyokong Anwar Ibrahim sekiranya projek 16 September lalu berlaku. Perkara ini telah dinafikan oleh beliau.

Anwar adalah seorang pemimpin yang cukup berstrategi. Dia bukan sahaja berjaya menguasai UMNO dalam masa yang singkat, tetapi juga pertubuhan-pertubuhan NGO yang lain. Sebab itu semasa Anwar berada di dalam UMNO beliau berjaya "menjinakkan" banyak pertubuhan-pertubuhan NGO yang lantang mengkritik kerajaan.

Sekarang ini Datuk Saifuddin telah pun dilantik sebagai Timbalan Menteri. Beliau cuba mara setapak lagi dengan menawarkan diri bertanding Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Kalangan pimpinan UMNO Pahang, vetran UMNO dan pimpinan NGO yang mengenali Datuk Saifuddin berpendapat, beliau tidak sepatutnya berbuat demikian. Datuk Saifuddin sepatutnya tidak menunjukkan gelojohnya untuk merebut jawatan tertinggi dalam UMNO.
Nampaknya pemimpin muda dari Termeloh ini memang menghayati cara-cara Anwar Ibrahim berpolitik. Anwar pernah ditegah supaya jangan menentang Ghafar Baba tetapi kerana sikap gelojohnya mahu menjadi TPM beliau akhirnya menentang Ghafar Baba.
Kita tidak hairan kalau pemilihan UMNO sekali lagi, Datuk Saifuddin akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Kalau Anwar bertanding melawan Ghafar kerana mahu menjadi TPM, Saifuddin pula akan bertanding Naib Presiden untuk meraih jawatan menteri penuh.


Datuk Saifuddin sepatutnya belajar dari "gurunya" Datuk Seri Anwar, bahawa sifat gelojoh itu boleh membawa padah. Takut nanti yang dikejar tidak dapat tapi yang dikendung jatuh berciciran.

Bagaimanapun beliau ada pandangannya sendiri. Beliau pernah memberi pandangan yang disiarkan oleh TV Awani baru-baru ini, bahawa perubahan yang dilakukan oleh UMNO adalah terlalu perlahan, sedangkan ahli-ahli mahu ianya berlaku lebih cepat lagi. Pendapat beliau ini telah disokong kuat oleh Tengku Razaleigh yang merupakan tetamu jemputan di TV Awani pada hari itu.
Beberapa hari lagi kepimpinan UMNO akan bertukar tangan dari Datuk Seri Abdullah kepada Datuk Seri Najib. Disini Datuk Saifudin akan berhadapan dengan keadaan yang getir. Apakah beliau akan dianggap sebagai orang Pak Lah atau orang Najib atau orang Anwar Ibrahim.

Melihat kepada senario sekarang, Najib yang sedang bertentangan hebat dengan Anwar Ibrahim yang mahu menjadi Perdana Menteri, tentunya beliau melihat Datuk Saifuddin sebagai "api di dalam sekam", ditambah pula beliau juga dilihat sebagai orang Abdullah Badawi . Ini akan menjadikan jalan-jalan yang akan dilalui oleh Datuk Saifuddin bertambah tidak rata dan berliku-liku.

No comments:

Post a Comment