Wednesday, March 25, 2009

Abdullah Badawi kena selamatkan Malaysia

Bila Datuk Seri Sharizat menang bergaya mengalahkan Rafidah Aziz dan Khairy Jamaluddin dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO, Abdullah Badawi baharu menyedari bahawa keputusannya tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO adalah satu kesilapan besar.

Bagaimanapun beliau masih lagi mempunyai satu "chance" iaitu tidak melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib walaupun Datuk najib akan menjadi Presiden UMNO besuk.

Kalau sebelum ini Abdullah menyangka ahli-ahli UMNO memang benar-benar marahkannya kerana didakwa terlalu memberi muka kepada Khairy, tetapi keputusan hari ini adalah menggambarkan sebaliknya.

Rupa-rupanya kemarahan ahli-ahli UMNO kepada Abdullah selama ini hanyalah dakwaan kosong yang dicanangkan oleh kumpulan Tun Mahathir yang kemudiannya diambil kesempatan oleh penyokong-penyokong Datuk Seri Najib.

Sekiranya ahli-ahli UMNO memang benar-benar marah kepada Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin, sudah tentu siang-siang lagi Khairy telah tertonggeng dari jawatan Ketua Pemuda UMNO yang ditandinginya.

Sekarang ini Abdullah harus percaya kepada dirinya sendiri dan jangan lagi terpengaruh dengan tembakan-tembakan kosong Tun Mahathir yang bukan lagi ahli UMNO itu. Abdullah harus sedar bahawa sokongan ahli-ahli UMNO terhadapnya masih lagi kuat.

Abdullah jangan bimbang Datuk Najib akan membuat undi tidak percaya kepadanya di dalam parlimen, kalau beliau enggan undur dari jawatan Perdana Menteri. Ini kerana pihak pembangkang bersedia untuk memihak kepada beliau.

Rasanya sejak akhir-akhir ini tidak ada pendokong-pendokong politik tanah air, yang mahukan Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ini adalah kerana kredebiliti dan intergriti beliau sedang dipersoalkan oleh masyarakat dunia.

Ketegasan Abdullah dalam perkara ini amat dinantikan oleh segenap lapisan masyarakat kerana rakyat tidak mahu dunia menempelak Malaysia kerana dipimpin oleh pemimpin yang dipersoalkan kredibiliti dan intergritinya.

No comments:

Post a Comment